Kerajaan Pakatan Harapan bertekad akan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak ke tempat yang sebenar, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963. Sumpah setia para pengasas negara kita akan kami kotakan agar kesatuan negara kita sebagai sebuah persekutuan menjadi lebih utuh.
TERAS 4: MENGEMBALIKAN STATUS SABAH DAN SARAWAK BERTERASKAN PERJANJIAN MALAYSIA 1963
Tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak agar mereka diberi layanan seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 terus menerus dipermain-mainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Setiap kali pilihan raya, maka UMNO dan Barisan Nasional menabur pelbagai janji kepada Sabah dan Sarawak sebagai umpan.
Tetapi, selepas pilihan raya, janji hanya tinggal janji, dan kekayaan Sabah dan Sarawak terus dieksploitasi untuk mengayakan Putrajaya.
Pakatan Harapan berpegang pada prinsip bahawa Sabah, Sarawak dan Semenanjung harus berpegang dengan semangat sebenar Perjanjian Malaysia 1963. Inilah asas sebenar pembentukan negara kita, iaitu ketiga-tiga komponen tersebut, sama-sama membentuk sebuah negara baru yang dinamakan Malaysia, berteraskan klausa-klausa khusus yang dipersetujui bersama.
Kerajaan Pakatan Harapan bertekad akan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak ke tempat yang sebenar, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963. Sumpah setia para pengasas negara kita akan kami kotakan agar kesatuan negara kita sebagai sebuah persekutuan menjadi lebih utuh.
Untuk itu, kami akan melaksanakan janji-janji yang disenaraikan seperti berikut.
Janji 40: Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963
UMNO dan Barisan Nasional dengan rakus telah merompak hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak yang asalnya dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Hari ini, setelah hak-hak ini diketepikan selama berdekaddekad di bawah UMNO dan Barisan Nasional, banyak pihak yang semakin tidak sedar apakah hak sebenar Sabah dan Sarawak.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Menyemak dan
Melaksanakan secara adil Perjanjian Malaysia 1963 dalam tempoh seratus hari pertama pentadbiran kami.
Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak, yang mempunyai kepakaran dalam hal-hal berkaitan.
Jawatankuasa ini akan diarahkan memberi laporan terperinci kepada kerajaan dalam masa enam bulan daripada tarikh penubuhan untuk pelaksanaan segera.
Antara tugas utama Jawatankuasa Khas ini ialah untuk mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah pembetulan dalam hal-hal berikut:
- Status Perjanjian Malaysia 1963 dalam perundangan sekarang
- Usaha meningkatkan kefahaman rakyat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 melalui sistem Pendidikan kebangsaan
- Perlaksanaan konsep federalisme untuk ketiga-tiga wilayah dalam Malaysia
- Hak Sabah dan Sarawak terhadap hasil semulajadi negara serta hasil minyak dan gas
- Perkara-perkara pentadbiran yang sewajarnya diturunkan untuk kuasa negeri
- Jumlah peruntukan yang seharusnya menjadi hak Sabah dan Sarawak
Sebaik sahaja laporan dibentang dan diluluskan oleh Kabinet, Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab dalam pemantauan perlaksanaan cadangancadangan laporan tersebut.
Janji 41: Memastikan ekonomi Sabah dan Sarawak berkembang dengan lebih pesat demi kemakmuran hidup rakyat seluruhnya
Sabah dan Sarawak kaya dengan hasil sumber bumi seperti minyak, gas dan kayu balak. Tetapi kekayaan Sabah dan Sarawak telah dirampas oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk memperkayakan negeri-negeri di Semenanjung, sedangkan Sabah dan Sarawak sendiri kini antara yang termiskin di Malaysia. Ketidakadilan ini akan dihentikan dengan segera oleh Kerajaan Pakatan Harapan.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil. Ini akan membolehkan Sabah dan Sarawak mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan.
Infrastruktur yang baik adalah kunci penting untuk pembangunan ekonomi, tetapi Barisan Nasional terlalu sibuk menggunakan peruntukan pembangunan tahunan untuk meraih kekayaan untuk diri sendiri dan kroni-kroni mereka sahaja. Kerajaan Pakatan Harapan akan menghentikan semua ini, agar peluang untuk maju dikongsi oleh semua. Peruntukan pembangunan yang lebih besar akan diberikan untuk:
- Menyegerakan pembekalan air bersih dan elektrik ke kawasan sempadan bandar dan luar bandar
- Membina jalan raya dan lebuh raya menghubungkan pekan dan bandar seluruh negeri, dan memperbaiki jambatan dan jalan-jalan yang rosak
- Mengkaji pembinaan perkhidmatan keretapi Trans-Borneo dengan menggunakan model perkongsian awam-swasta, dan memastikan kontrak-kontrak akan dikongsi oleh anakanak tempatan
- Mewujudkan skim bantuan bersasar untuk menjaga kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak
- Membina lebih banyak sekolah dan pusatpusat kesihatan untuk memberi khidmat kepada rakyat
Akta Pembanguan Petroleum 1974 akan dikaji semula untuk menyemak monopoli Petronas terhadap hasil gas dan minyak negara, terutama dari Sabah dan Sarawak. Matlamat kajian ini ialah untuk mencari jalan membolehkan Sabah dan Sarawak menubuhkan syarikat minyak dan gas mereka sendiri, dan tidak menghadkan peranan mereka hanya sebagai kontraktor kepada Petronas sahaja.
Untuk memastikan hasil minyak dan gas Sabah dan Sarawak boleh dimanfaatkan dalam jangka masa panjang, entiti yang mirip kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) boleh ditubuhkan di Sabah dan Sarawak, iaitu setelah mengkaji model lebih mapan yang diamalkan oleh negara-negara lain seperti Norway dan juga tabungan negeri yang diamalkan oleh negeri Alaska di Amerika Syarikat.
Janji 42: Mencipta lebih banyak peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk anak-anak Sabah dan Sarawak
Perkembangan ekonomi negara berlaku secara tidak sekata sehingga Sabah dan Sarawak tidak menikmati faedah sepenuhnya daripada pembangunan selama ini. Peluang pekerjaan yang wujud pula tidak membawa kepada pendapatan yang sewajarnya. Gaji median di Sabah adalah yang paling rendah di Malaysia, iaitu 31 peratus di bawah gaji median kebangsaan. Sarawak pula adalah yang ketiga paling rendah, iaitu 21 peratus di bawah tahap gaji media kebangsaan. Ini adalah tidak adil untuk warga Sabah dan Sarawak.
Sejak 1965, setiap kali pilihan raya, Barisan Nasional akan menjanjikan Lebuhraya Pan-Borneo kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Tetapi projek ini tidak pernah disiapkan walaupun telah lebih 40 tahun dijanjikan. Lebih malang lagi, kroni-kroni mereka telahpun memulakan langkah untuk mengaut keuntungan daripada kontrakkontrak yang dijanjikan.
Kerajaan Pakatan Harapan akan merealisasikan harapan rakyat Sabah dan Sarawak untuk melihat wujudnya sebuah lebuhraya penghubung. Sehingga 30 peratus daripada peruntukan belanjawan pembangunan setiap tahun akan dikhususkan untuk Sabah dan Sarawak dan keutamaan perbelanjaan akan diberikan kepada penyiapan projek lebuhraya ini.
Melalui peruntukan ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kontrak dan peluang pekerjaan yang dicipta diberikan terlebih dahulu kepada anak-anak tempatan, dengan gaji yang wajar. Kami menjangka bahawa projek ini dan projek-projek berkaitan dengan Lebuhraya Pan-Borneo berpotensi mencipta paling kurang 2,000 peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan.
Sabah dan Sarawak mempunyai rakyat yang berkebolehan tinggi. Tetapi bakat mereka ditolak oleh Barisan Nasional yang kerap kali mengimport pegawai dari Semenanjung sehingga merobah struktur demografi asas. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi keutamaan kepada anak-anak Sabah dan Sarawak untuk mengisi jawatan-jawatan kosong di setiap peringkat, terutamanya peringkat atasan di semua agensi pusat dan negeri. Proses Borneonisasi sektor awam akan memberikan tempat yang sewajarnya kepada anak-anak tempatan yang layak.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Tabung Industrialisasi dan Tabung Keusahawanan di peringkat Sabah dan Sarawak untuk menyemarakkan lagi proses industrialisasi dan sektor keusahawan.
Sektor pelancongan akan dimajukan agar ia mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan menyumbang kepada dana pembangunan, dengan mempromosikan keunikan budaya, sejarah, serta keindahan semula jadi setempat.
Janji 43: Menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai model masyarakat harmoni
Pada masa Malaysia pemimpin Barisan Nasional menggunakan taktik memecahbelahkan masyarakat mengikut agama dan kaum untuk memastikan kemenangan mereka, rakyat Sabah dan Sarawak boleh berbangga dengan keharmonian yang wujud sesama mereka. Hakikatnya, Sabah dan Sarawak boleh menjadi model bagaimana masyarakat pelbagai kaum dan agama boleh hidup harmoni dalam kerangka Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Kerajaan Pakatan Harapan menjamin keutuhan hubungan antara kaum dan agama di Sabah dan Sarawak serta di seluruh negara.
Lebih dari itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengangkat martabat Sabah dan Sarawak sebagai model keharmonian masyarakat majmuk agar seluruh rakyat Malaysia dapat mencontohi sikap wasatiyah yang diamalkan secara semulajadi.
Universiti-universiti awam serta sekolah-sekolah menengah akan diberi insentif untuk melakukan aktiviti pertukaran pelajar serta lawatan sambal belajar antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk menggalakkan lebih banyak interaksi dan saling perkenalan. Kegiatan sukan juga akan digunakan untuk menjadi tali penyambung silaturrahim antara sesama warga Malaysia.
Janji 44: Memperbaiki kualiti pendidikan dan khidmat kesihatan
Rakyat Sabah dan Sarawak telah berdekad-dekad menderita di bawah Barisan Nasional yang gagal memberi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang sepatutnya. Guru-guru dan doktor-doktor yang dihantar ke Sabah dan Sarawak biasanya adalah mereka yang masih terlalu baru dalam perkhidmatan. Walaupun mereka secara umumnya komited dalam perkhidmatan, tetapi mereka akan segera memohon kembali ke Semenanjung apabila telah memperolehi pengalaman. Ini menyebabkan kualiti pendidikan dan khidmat kesihatan di Sabah dan Sarawak terbantut kerana berlakunya brain drain.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi keutamaan untuk melatih guru-guru dan pegawai kesihatan daripada anak-anak Sabah dan Sarawak sendiri.
Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menghentikan amalan Barisan Nasional yang menganggap Sabah dan Sarawak hanya layak menjadi tempat latihan guru dan pegawai kesihatan muda, atau tempat “buangan” bagi mereka yang mempunyai masalah perkhidmatan. Sebaliknya, jika pertukaran terpaksa dilakukan, ia akan dilakukan berdasarkan keperluan, termasuklah menghantar pegawai-pegawai cemerlang ke sekolah atau pusat kesihatan yang memerlukan kepakaran mereka.
Kerajaan Sabah dan Sarawak akan diberi hak membuat keputusan (decision rights) dalam hal ehwal pendidikan dan kesihatan.
Dalam urusan pendidikan, ibu bapa akan diberi hak untuk menyuarakan pandangan dalam menentukan sama ada pembelajaran di sekolah anak-anak mereka akan menggunakan bahasa ibunda atau Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah yang mampu menyediakannya. Kurikulum juga akan dipastikan mempunyai kandungan lokal yang akan membolehkan anak-anak Sabah dan Sarawak mengenali dengan baik budaya setempat. Kursus berkaitan bahasa dan budaya tempatan akan diwujudkan di universiti-universiti awam di Sabah dan Sarawak. Semua ini akan dilakukan dalam kerangka Falsafah Pendidikan Negara.
Dalam urusan perkhidmatan kesihatan, semua hospital awam akan dinaik taraf agar boleh merawat lebih ramai pesakit, dan hospital-hospital terpilih akan dilengkapkan dengan peralatan terkini untuk rawatan kardiovaskular dan barah. Sistem perolehan ubat-ubatan dan peralatan juga akan dipastikan lebih kompetitif agar harga termurah akan dibayar untuk ubat dan peralatan yang berkualiti tinggi.
Syarikat-syarikat milik kerajaan akan diminta untuk menyumbang dalam penambahbaikan premis dan infrastruktur pendidikan dan kesihatan, termasuklah memperbaiki sekolah-sekolah dan klinik-klinik kesihatan. Dana khas kerajaan juga akan digunakan untuk tujuan ini.
Skim Insuran Peduli Sihat yang berjaya dikendalikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Selangor akan dikaji untuk dilaksanakan di Sabah dan Sarawak, dengan keutamaan diberikan kepada penduduk luar bandar dan Kawasan pedalaman.
Janji 45: Membela nasib penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman
Ramai rakyat Sabah dan Sarawak masih menetap di kampung-kampung dan kawasan-kawasan pedalaman. Kualiti kehidupan mereka masih rendah dan memerlukan bantuan untuk memastikan hidup mereka terbela. Malahan, kesempitan hidup juga turut menyebabkan sebahagian daripada mereka tidak sempat mendaftarkan kelahiran anak, sehingga ada yang menjadi anak tanpa kerakyatan.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mempermudah dan mengurangkan birokrasi dalam proses pendaftaran anak dan individu warga Malaysia yang sehingga kini masih tiada kerakyatan sah. Kami juga akan menyelesaikan masalah kesilapan nama, alamat dan butiran peribadi lain yang begitu berleluasa.
Di kawasan pedalaman dan kampung-kampung, kami akan mempelopori inisiatif penjanaan elektrik menggunakan tenaga solar, mikro-hidro dan biogas.
Janji 46: Mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Sabah
Rakyat Sabah terpaksa berhadapan dengan risiko keselamatan untuk sekian lama kerana UMNO dan Barisan Nasional gagal teruk dalam menjaga sempadan negeri. Sehingga hari ini rakyat Sabah masih menghadapi ancaman kuasa asing, termasuk kesan daripada pemberian kad pengenalan dengan cara yang diragui kepada pendatang asing tanpa izin.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi untuk mencari penyelesaian adil terhadap isu pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin, yang seterusnya akan memastikan daftar pemilih di Sabah dapat dibersihkan. Mandat Suruhanjaya ini akan ditentukan secara bersama oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sabah, tetapi Pengerusi Suruhanjaya ini ialah seorang rakyat Sabah yang layak dan berintegriti tinggi. Suruhanjaya ini juga akan diberi mandat mencadangkan tindakan susulan yang sesuai.
Kekuatan pasukan keselamatan yang menjaga sempadan Sabah akan diperkukuhkan.
Janji 47: Desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak
Kerajaan Pakatan Harapan akan mendesentralisasikan sistem pentadbiran fiskal negara secara berperingkat agar akhirnya sehingga 50 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di Sabah dan Sarawak akan dibelanjakan di Sabah dan Sarawak itu sendiri.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mengembalikan kuasa untuk membuat dasar-dasar berkaitan perdagangan dan komersil kepada Sabah dan Sarawak, dalam konteks Malaysia yang berpegang dengan falsafah ekonomi terbuka dan untuk meraih faedah daripada perdagangan serantau dan antarabangsa. Ini termasuklah dalam aspek merekrut pekerja asing.
Mandat akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak sendiri untuk merangka program-program menghapuskan, dengan seberapa segara halanganhalangan perdagangan dan semua tarif yang membantutkan pembangunan ekonomi negeri dan menghalang rakyat daripada memanfaatkan keterbukaan ekonomi negara kita secara keseluruhan. Ini termasuklah dalam dasar penganglutan awam, dasar kabotaj, dasar langit terbuka dan dasar pelaburan.
Keutamaan akan diberikan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak untuk kembali menguasai syarikat-syarikat milik kerajaan yang strategik, seperti syarikat air dan elektrik yang menjalankan perbekalan.
Sabah dan Sarawak mempunyai sistem undang-undang dan mahkamah adat yang unik.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkasa sistem ini, bermula dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Pakar untuk mengkaji penambahbaikan yang perlu dilaksanakan terhadap Mahkamah Anak Negeri Sabah dan Mahkamah Bumiputera Sarawak, serta untuk memperkemas pengurusan hak adat Pribumi.
Hak pemilikan tanah adat akan diperakui dan proses pendaftar hak pemilikan akan diperkemas dengan segera. Konflik hak Orang Asal terhadap tanah mereka akan diselesaikan melalui penubuhan Tribunal Khas Tanah Adat yang dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang ini.
Janji 48: Memulangkan dan menjamin hak tanah adat Sabah dan Sarawak
Barisan Nasional telah gagal menjaga hak tanah adat di Sarawak dan Sabah. Malahan tanah adat mereka telah dijual atau dipajak pada harga yang sangat rendah kepada syarikat pembalakan dan pemaju ladang kelapa sawit.
Untuk memperbaiki pengabaian hak tanah pribumi Sabah dan Sarawak ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan syor-syor dalam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal / Asli yang disediakan oleh SUHAKAM.
Sekiranya wujud tanah adat yang telah diambil dengan cara yang tidak betul, Kerajaan Pakatan Harapan akan mewujudkan satu mekanisme pembetulan (redress mechanism) demi memastikan pampasan yang sewajarnya dibayar.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mempertingkat keupayaan Jabatan Tanah agar kajian perimeter yang betul dapat dilakukan. Dana akan disediakan untuk melaksanakan kajian lengkap yang boleh mengenalpasti sempadan tanah adat dengan tepat.
Satu Tribunal Khas Tanah Adat akan ditubuhkan untuk menyelesaikan dengan segera pertikaian mengenai hak dan sempadan tanah adat serta menyelesaikan longgokan kes tertunggak.
Pembangunan yang dijalankan di kawasan Orang Asal mestilah mengikut model yang lestari dan mesra alam, serta mengambil kira sosio-budaya masyarakat sekitar, lengkap dengan penyertaan aktif penduduk pribumi.
Source : Invoke
