Kami mahu negara dan negeri ini diselamatkan daripada pemimpin yang rasuah, salah guna kuasa dan merompak kekayaan negara untuk kepentingan diri dan keluarga. Bolot tanah, projek, balak dan sebagainya untuk diri, adik-beradik, dan syarikat kroni. Jangan fikir rakyat tidak tahu itu semua. Jangan fikir rakyat dungu dan bahlul dan dapat ditipu, dipermain dan diperdaya. Tidak malukah kalian dengan perbuatan itu semua ketika rakyat merintih untuk mendapat sekangkang tanah untuk berkebun dan mendirikan rumah, mendapatkan sesuap nasi, mendapatkan puluhan ringgit sehari untuk menyekolahkan anak dan menghidupkan mereka?
Kami tidak mahu negara dan masa depan anak cucu kami tergadai oleh pemimpin yang tidak amanah dan tidak memiliki integriti. Kami mahu negara ini diurus dan ditadbir dengan baik. Biarlah negara ini ditadbir ikut undang-undang dan diurus dengan betul. Kami mahu negara dan negeri ini dihormati dunia kerana pemimpinnya bersih dan mengutamakan kepentingan rakyat.
