Tun M Bentang RUU untuk Kembalikan Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Semenanjung

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijangka membentangkan bacaan kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 petang ini, bagi Perkara 1(2) untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung.

Pindaan itu menumpukan aspek menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung seperti kedudukan sebelum pindaan pada tahun 1976.

RUU itu akan dibahas sebelum diluluskan jika mendapat undian sokongan dua pertiga ahli dewan atau minimum 148 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Ini bakal menjadi ujian politik besar buat Dr Mahathir, yang kini mendapat sokongan 139 anggota dalam Dewan Rakyat, kurang sembilan daripada majoriti dua pertiga diperlukan untuk sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, semalam dilaporkan berkata istilah ‘Borneo’ akan dimasukkan dalam usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan supaya ia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

Pada pembentangan RUU minggu lalu, beberapa ahli Parlimen Sabah dan Sarawak meminta ia ditangguhkan kerana memerlukan kajian yang menyeluruh membabitkan pihak berkepentingan selain ia bukannya satu yang mendesak pada masa ini.

Di luar Dewan Rakyat, beberapa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dilaporkan turut mendesak perkara itu ditangguhkan kerana perlu dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak terlebih dulu.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dilapor berkata, pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan dianggap tidak mencukupi jika kerajaan komited ingin mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dengan Semenanjung seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perkara 160 juga wajar dipinda bagi memastikan kedudukan Sabah sebagai rakan sekutu dapat dikembalikan,” katanya.


Source : Berita Harian Online


View More>


Source : You Tube by Jom Channel


 

Leave a comment