MA63 lambang maruah rakyat Sabah Sarawak

KOTA KINABALU: Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah satu-satunya warisan peninggalan bapa-bapa kemerdekaan yang mahukan kesejahteraan Malaysia berterusan.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal berkata, MA63 adalah dokumen rasmi yang memberikan legitimasi kepada kewujudan Sabah dan sekaligus membentuk Malaysia sendiri.

    “Perjanjian ini berbeza berbanding dengan ‘sosial kontrak’ yang sering diwarnakan seluruh negara. Perbezaan antara dua dokumen ini adalah satu suratcara yang ditulis manakala satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan adalah dokumen antarabangsa.

    MA63 juga bukan hanya satu persefahaman antara parti politik seperti ‘kontrak sosial’ yang tidak mempunyai kuasa undang-undang, katanya pada persidangan Dewan Rakyat,hari ini.

    Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, MA63 adalah satu perjanjian yang bukan sahaja memberi hak kepada hak istimewa Sabah malah ia melambangkan maruah rakyat Sabah.

    “Oleh itu, sebarang pelanggaran atau perubahan terhadap apa juga ayat dalam perjanjian ini bermakna ia pasti akan memberi kesan dan menyentuh hak rakyat Sabah.

    Sekiranya berlaku sebarang perubahan maka sudah tentu ia akan menimbulkan rasa keresahan dan ketidakadilan hati di kalangan rakyat Sabah terhadap perkhidmatan Persekutuan Malaysia kepada mereka,” katanya.

    Shafie berkata, MA63 berhubung hak hak rakyat Sabah, ia bukan bahan politik yang boleh dipercayakan untuk mendapatkan kuasa. MA63 adalah hak hak rakyat Sabah dan jangan sekali-kali dipermain-mainkan.

    “Janganlah kerana ingin meraih pengaruh politik, MA63 dipolitikkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

    Ada juga pihak yang cuba menggunakan Perjanjian Malaysia untuk terus berkuasa, mereka mewujudkan Jawatankuasa selepas Jawatankuasa, bermesyuarat selepas bermesyuarat tetapi selepas beberapa tahun tidak menampakkan hasilnya, mereka telah menerima padah kerana pembohongan mereka kepada rakyat Sabah, padah menimpa mereka dengan lebih teruk mereka kehilangan kuasa,” katanya.

    Shafie berkata, nama nama seperti Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tan Siew Sin, VT Sambantahan, Ong Yohe Lin dari Persekutuan Tanah Melayu; Datu Mustapha bin Datu Harun, Donald A. Stephens, Khoo Siak Chew, GS Sundang dari Borneo Utara; Temanggong Jugah, Abang Haji Mustapha, Abang Haji Openg, Ling Beng Siew dari Sarawak adalah nama – nama yang akan diingati sepanjang zaman.

    Merekalah yang telah bersetuju dan menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 di London pada 9 Julai 1963; satu perjanjian antarabangsa yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (United Nation) yang membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

    Beliau berkata, Perjanjian Malaysia 1963 adalah satu persatuan yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak di bawah payung Malaysia.

    “Dalam hal ini kita dapat melihat pembagian kuasa di dalam Undang-Undang Persekutuan daripada bentuk kesatuan kepada bentuk Persekutuan negeri negeri.

    Perubahan ini juga tidak memberikan kuasa mutlak kepada Persekutuan, pemberian kuasa ini adalah syarat.

    Ini telah diterima oleh wakil-wakil Persekutuan yang bersetuju dan menandatangani Perjanjian Malaysia 1963.

    Apa jua perubahan atau pindaan yang hendak dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibincangkan terlebih dahulu di antara Persekutuan, Sabah dan Sarawak dan mendapat persetujuan mereka,” katanya.

    Shafie berkata, kuasa membuat pindaan Perlembagaan bukan kuasa mutlak Kerajaan Persekutuan semata mata. Ini yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa pembentukan Malaysia.

    “Apa jua yang telah dipersetujui patut dihormati dan dipertahankan oleh pemimpin pemimpin yang ada sekarang.

    Bukannya sebab mahukan kuasa, mereka sanggup membuat perubahan atau pindaan yang menggugat kedudukan dan legitimasi Sabah,” katanya.

     Shafie berkata, sebagai pemimpin Sabah, beliau mahu membawa perubahan baru. Sebagai langkah pertama, hak Sabah yang telah dipulangkan oleh Persekutuan hendaklah dikembalikan dengan cara yang baik,” katanya.


Source : Utusan Borneo byJohn Tambanan


Leave a comment