KUCHING: Penolakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 sememangnya sudah dijangkakan dan ia satu kejayaan penting bagi rakyat Sarawak dan Sabah.
President Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Lina Soo (gambar) berkata, ini membuktikan kematangan politik rakyat Sarawak dan Sabah sudah mencapai tahap baharu yang tidak kelihatan sejak penubuhan Malaysia.
Bagi Sarawak, katanya, sentimen nasionalis dan semangat setia lawan sedemikian tidak pernah disaksikan sejak anti-penyerahan pada zaman 1940an iaitu ketika Sarawak dirampas oleh Britain untuk menjadi sebuah jajahan diraja.
“Tahap kesedaran rakyat mengenai isu-isu politik yang menjejaskan masa depan negeri masing-masing sangat ketara.
“Rakyat sudah bersuara dengan lantang dan jelas bahawa sebarang pindaan Perlembagaan tanpa mematuhi prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti ditolak sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Soo menegaskan sebarang pindaan yang menjejaskan kedudukan politik Sarawak dan Sabah mesti terlebih dahulu dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk kesahihan; dan sentiasa mendapatkan konsensus badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat madani dan parti-parti politik Sarawak yang tidak diwakili untuk memberi suara kepada rakyat.
Kerajaan Persekutuan sekarang katanya, mesti mengiktiraf dan ambil perhatian bahawa rakyat Sarawak dan Sabah tidak mudah diperkotak-katikkan.
“Pada masa lalu, Kerajaan Persekutuan boleh buat sesuka hati dan terlepas dengan apa sahaja, tetapi tidak pada hari ini.
“Ini adalah satu tindakan yang jelas di mana rakyat Sarawak dan Sabah telah menunjukkan kesungguhan untuk bersama-sama menjamin hak dan kedaulatan mereka di bawah peraturan undang-undang, sama ada undang-undang negara, undang-undang negeri dan atau undang-undang antarabangsa,” katanya.
Ujar Soo, rakyat Sarawak dan Sabah tidak akan teragak-agak untuk bersatu untuk meneruskan semua hak termasuk hak mutlak bagi menentukan masa depan politik, ekonomi dan sosial mereka, sentiasa kepada perlembagaan, demokratik dan aman.
Source : Utusan Borneo
View More >
Source : SSKM
