Terdetik untuk menulis tentang individu bernama Zakir Naik kali ini. Garapan tulisan kali ini lebih bertemakan kedamaian bertunjangkan agama demi keharmonian sejagat!
Saya bukan individu yg beragama Islam, bukan lelaki Muslim, tetapi saya suka mendengar khutbah dan dakwah daripada beberapa tokoh agama tempatan, sebagai contoh dakwah daripada UAI! Dakwah yg bersahaja, diselitkan dengan unsur humor dan jenaka, memudahkan saya untuk memahami setiap mesej yg beliau cuba sampaikan. Dan yg menariknya, setakat ni, saya belum jumpa dakwah UAI menghentam atau mengkritik agama lain secara berlebihan sekalipun beliau cuba untuk membandingkan ajaran Islam dengan agama Samawi dan fahaman lain! Saya puji dan saya kagum! Malaysia masih mempunyai tokoh agama yg waras dan sederhana dalam penyampaiannya. Sesuai dengan kemajmukan masyarakat di bumi Malaysia ini!
Tapi setiap kali saya menonton dakwah dan khutbah yg disampaikan oleh Zakir Naik, perasaan marah saya sebagai seorang yg bukan beragama Islam menggelegak panas hingga ke takat lebur! Kenapa? Kerana hampir kesemua video dakwah yg dikongsikan bersama beliau, kebanyakkannya ada unsur provokasi dan penghinaan terhadap agama dan fahaman lain selain daripada agama beliau sendiri! Saya tak marah pada ISLAM, saya hormat, tapi saya terlalu marah pada manusia yg bernama ZAKIR NAIK ini! Hampir setiap bait yg keluar dari mulut nya, mesti diselitkan dengan unsur provokasi, hinaan, celaan jua makian!
Di sebuah negara yg berlatarbelakangkan masyarakat majmuk, ideologi yg digunapakai oleh Zakir Naik ini amat tidak bersesuaian! Saya percaya, majoriti rakyat Malaysia yg bukan Muslim menghormati dan patuh yg agama rasmi negara ini adalah agama Islam. Dan pada masa yg sama, kaum dan penganut lain masih bebas untuk menunaikan tuntutan agama mereka seperti mana yg termaktub dalam perlembagaan negara. Oleh yg demikian, pendekatan “menarik rambut dalam tepung” seharusnya digunapakai! Rambut tidak putus, tepung tidak bertaburan! Zakir Naik seharusnya peka terhadap perkara seumpama ini!
Sekadar bermonolog, jika si Zakir Naik ni memang “baik”, kenapa dia dihalau dari negara dia sendiri? Kenapa dia tidak dibenarkan berkhutbah di Pakistan? Kenapa Pakistan tidak menerima kehadiran dia sedangkan Pakistan itu sendiri adalah jiran terdekat negara India dan ironinya, agama rasmi negara Pakistan itu adalah Islam? Fikiran mudah kita adalah “ada sesuatu yg tak kena dalam diri Zakir Naik ini hinggakan negaranya sendiri dan negara jiran yg bersefahaman dengannya pun tidak sudi menerima dia!”.
Bagi sesetengah kes, jika nak teruskan niat “menerima” Zakir Naik mendapat PR Malaysia, tak ada masalah, tapi hadkan “pengucapan” beliau agar tidak sewenang-wenangnya mengkritik fahaman agama lain! Itu boleh mencetuskan perbalahan, mencetuskan provokasi dan akhirnya menjejaskan perpaduan! Harus diingat, dalam beragama ini, memang ada diantara fahaman dan amalan agama lain bercanggah dengan agama kita, kita mungkin boleh berbicara tentang percanggahan itu sesama dengan mereka yg sama agama dengan kita, tapi jika ia dibicarakan secara terbuka, percayalah itu bukan pilihan terbaik yg kita ada! Itu kesilapan namanya! Kerana agama kita mengajar kita satu elemen penting… IMAN atau FAITH! Jika iman kita kuat, kita takkan sewenang-wenangnya mengkritik fahaman agama lain, jika sebaliknya… tepuk dada tanya selera!
Akhir kalam, saya bukan kafir, saya hanya umat Kristian yg rindukan kedamaian. Saya umat Kristian yg menghormati agama lain selain daripada agama saya. Saya berkawan dengan mereka yg berlainan bangsa dan agama dengan saya! Saya tak suka propaganda, prejudis dan anti agama! Jangan biarkan bumi Malaysia ini dikuasai oleh individu berpewatakan “Tuhan” berperangai “syaitan” yg akhirnya meninggalkan bait-bait permusuhan! Malaysia ini dibina oleh entiti yg pelbagai berdasarkan kaum dan agama yg berbeza! Bukan Malaysia nama nya jika salah satu entiti itu digugurkan dengan kaedah “penakaian” secara halus! Pesanan ringkas buat Zakir Naik, “jika anda berterusan menggunakan pendekatan ekstrim seperti selalunya dalam khutbah anda, anda tidak layak mendiami MALAYSIA!”
KENAPA PERLU BERDEBAT DAN PERSOALKAN AKIDAH UMAT LAIN?????
Sekian.
Ikhlas,
Pencinta Kedamaian Agama
Cikgu Resa Reza Billie
Guru PJK anda!
*nota kaki: Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Yang pasti, jangan mendukung biawak hidup, gaga ke tabas enda ngawa… errr… Jangan tutup lampu!
Source : Resa Reza Billie
