NGO kaum Dayak dan Iban terkuat jika mereka bersatu

MIRI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum Dayak dan Iban boleh menjadi terkuat jika mereka semua bersatu kerana kaum itu paling ramai di Sarawak dan mempunyai paling banyak persatuan ketika ini.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata kebanyakan NGO ini mempunyai objektif dan misi hampir sama justeru perlu bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain bukannya saling bermusuhan atau bertelagah.

“Hari ini semakin banyak NGO kaum Dayak terutama kaum Iban ditubuhkan terutama di Miri, Bintulu serta Sibu dan seharusnya pertubuhan-pertubuhan ini bekerjasama kerana mempunyai objektif, misi dan visi hampir sama, memajukan dan membangunkan kaum Dayak.

“Negeri Sarawak adalah sebuah negeri menjadi contoh di mana semua kaum boleh tinggal bersama dengan harmoni, duduk, makan, berkumpul dan berbual sesama kita tanpa sebarang masalah dan isu.

“Jika NGO Dayak boleh bersatu dan bekerjasama serta duduk harmoni maka kitalah yang paling kuat kerana kita paling ramai,” katanya pada Majlis Penangguhan Gawai Dayak Bazaar (GDB) 2019 anjuran Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) di Bandar Baharu Permyjaya di sini malam kelmarin.

Beliau menegaskan kekuatan itu bukannya mencari gaduh dengan sesiapa atau mahu melawan sesiapa, sebaliknya digunakan membangunkan masyarakat Dayak dalam pelbagai bidang agar boleh mencapai kemajuan setanding bangsa lain sudah maju ke hadapan.

“Tetapi jika kita berpecah belah, maka tiada maknanya walaupun jumlah kita ramai kerana kita nampak lemah. Seperti kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada kalanya ahli-ahli pertubuhan itu tidak sependapat, tidak sama pemikirannya namun masalah timbul itu boleh diselesaikan dengan baik tanpa perlu memperbesarnya melalui rundingan dan perbincangan bersama.

Penguang berkata, beliau tidak pernah menghalang penubuhan NGO Dayak tumbuh bagai cendawan selepas hujan ketika ini kerana ia sesuatu yang positif dan dapat mengajar mereka bagaimana menguruskan masyarakat dan mendidik generasi muda perkara betul.

  Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga menggalakkan NGO Dayak terus mengembangkan kebudayaan dan kesenian mereka khususnya semakin jarang dilihat dan dimainkan seperti gendang pampat dipersembahkan pemain Rumah Anthony Ladi, Sungai Liam, Bakong.

“Saya sentiasa memberi sokongan dan dorongan ke arah memelihara budaya seperti itu namun mereka perlu membuktikan usaha dan kesungguhan terlebih dahulu,” katanya.

Mengenai GDB dianjurkan GADS, Penguang melahirkan rasa bangga dengan penyertaan ramai masyarakat Dayak mengambil bahagian dan menjalankan perniagaan mereka dengan berjaya di bazar tersebut.

Beliau menggalakkan masyarakat Dayak yang berjinak dengan perniagaan di bazar itu supaya tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya meneruskan usaha mereka dan menjual jenama atau produk dihasilkan mereka ke pasaran di luar sana agar mereka terus berkembang dan bersaing setanding bangsa lain yang sudah maju dalam perniagaan.

“Saya amat memuji usaha dan pencapaian GADS menganjurkan GDB 2019 ini dan amat bangga di Miri mereka berjaya melakukannya dengan cukup baik dan lebih besar berbanding di bahagian lain,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar GADS menyediakan peti cadangan membolehkan jawatankuasa penganjur mendengar pandangan dan pendapat daripada peserta ke arah meningkatkan penganjurannya pada masa akan datang.

“Terutama cadangan bagaimana untuk meningkatkan jualan, menggalakkan promosi, sama ada jualan makanan, produk bukan makanan, kraf dan sebagainya bagi membantu meningkatkan hasil keuntungan mereka,” katanya.

Beliau juga berjanji dengan kapasiti yang ada padanya membantu masyarakat terutama NGO Dayak untuk maju ke hadapan dengan syarat mereka harus saling bekerjasama dan bukan menjatuhkan satu sama lain.

Pada majlis itu, Penguang turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 kepada GDB 2019.

Hadir sama isteri beliau, Datin Monica Ukong. Setiausaha Politik Ketua Menteri Alexander Asing, Ketua Masyarakat Iban Miri Pemanca Wilson Siang Lim, kedua-dua penasihat GADS, David Upe dan Jetli Jelian, Presiden GADS Vicky Gulin Shandom dan pengerusi penganjur GDB 2019 Clare Cinderella Kom.


Source : Utusan Borneo


Leave a comment